Namun permasalahan ini, terdapat banyak punca yang dapat kita cungkilkan. Antara punca yang menyebabkan remaja itu bermasalah adalah pendidikan yang mereka perolehi dari rumah lagi. Ya, pendidikan awal kita sejak dilahirkan adalah bermula di rumah dahulu kemudian barulah di sekolah. Jika ibu bapa itu adalah pendidik yang baik, nescaya tidak akan berlaku masalah-masalah yang tidak diingini terhadap anak-anak remaja sekarang. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tapi, lihatlah kepada mereka yang bermasalah sekarang, sebahagian daripada mereka sendiri mengaku keadaan di rumah yang menyebabkan mereka menjadi seorang yang bermasalah. Apabila ibu bapa sering bertengkar, hal anak-anak mereka sering diabaikan. Anak-anak sering menjadi mangsa terhadap situasi tersebut. Dengan mengambil jalan keluar, mereka yakni remaja yang datangnya dari keluarga bermasalah ini akan keluar mencari rakan-rakan untuk mengatasi masalah mereka kononnya.
Kalaulah remaja tersebut berjumpa dengan rakan-rakan yang baik akhlaknya, itu tidak mengapa dan sememangnya sangat digalakkan. Tapi, bagaimana dengan mereka yang berkawan dengan rakan yang rendah akhlak moralnya. Sudah tentu itu satu perkara yang tidak menyenangkan pelbagai pihak. Dengan mempunyai kawan yang bersifat negatif, mereka akan lebih terjebak dengan gejala yang tidak sihat seperti menghisap dadah, mencuri, suka ponteng sekolah, menjadi golongan vandalisme, menjadi pembuli, samseng sekolah malah ada juga di kalangan mereka sanggup membunuh di sebabkan ada perkara-perkara yang kecil yang mana perkara tersebut tidak masuk dek akal.
Dalam tahun ini, banyak berita kejadian membunuh yang membabitkan pelajar di negara kita ini. Adakah situasi ini yang kita inginkan? Adakah negara ini mengamalkan suasana aman harmoni dan aman damai yang selalu digembar-gemburkan? Kalau dahulu, kita selalu berbangga dengan negara kita kerana kurangnya kejadian bunuh-membunuh, baik di kalangan remaja ataupun dewasa. Tetapi, tidak hari ini, kejadian ini sering berlaku. Malah di anggap macam satu trend di kalangan remaja. Wahai ibu bapa yang dicintai sekalian, sedarlah, fikirkan tentang anak-anak yang sering terabai di rumah. Berilah perhatian yang secukupnya kepada mereka. Jangan biarkan mereka rasa tersisih di dalam keluarga sendiri. Di samping itu, pihak ibu bapa juga harus tidak terlalu memanjakan anak sendiri. Kalau terlalu memanjakan anak itu maka naik tocanglah dia. Yang pasti jika ada masalah yang dilakukan oleh anak mereka, mereka pasti akan mempertahankan bahawa anak mereka tidak melakukan kesalahan terbabit. Walhal sudah terang lagi bersuluh, sememangnya anak mereka yang melakukannya.
Kalau di sekolah dahulu, ketika hendak membuat karangan mengenai sesuatu pendapat, saya lebih suka menyenaraikannya terlebih dahulu. Kemudian barulah kita bincang panjang lebar. Memandangkan masa tidak begitu mengizinkan saya untuk berceloteh dengan lebih panjang di dunia yang bisu ini. Di sini saya menyenaraikan punca-punca lain yang menyebabkan remaja bermasalah. Antara yang lainnya, mereka tidak mempunya pegangan agama yang kuat, bak kata ustaz samurai saya yang sering saya dan rakan-rakan saya menggelarkan dia dengan nama itu ketika di sekolah dahulu, "IMAN TAK MANTAP", tanpa iman, kita terkapai-kapai tanpa haluan. Oleh itu, jangan biarkan iman kita menjauhkan diri dari kita, sebaliknya kitalah yang harus sentiasa menjaga iman kita agar tidak lari meninggalkan kita di dunia yang penuh pancaroba ini. Tanpa iman, kita akan bertindak sesuatu mengikut nafsu. Ikutan nafsu itulah yang mesti kita hindarkan. Pepatah Melayu ada menyebut, kalau ikutkan nafsu lesu, kalau ikutkan rasa binasa dan kalau ikutkan hati mati. Beringat-ingatlah terhadap kata-kata itu. Jangan biarkan nafsu mendahului iman sebaliknya iman lah yang harus di utamakan.
Selain itu, remaja sering terpengaruh dengan budaya-budaya luar yang telah mereka lihat di media-media, baik dari segi media elektronik mahupun media akhbar. Pengawasan terhadap mereka yang di bawah umur haruslah sentiasa di awasi oleh ibu bapa. Jangan biarkan mereka yang masih kecil itu menonton cerita-cerita yang ganas yang pasti tidak membawa nilai-nilai murni. Rancangan yang berkisarkan keganasan, eloklah ditapis dahulu sebelum menyiarkannya di kaca televisyen. Hal ini kerana, jika penontonnya adalah kanak-kanak, sudah tentu mereka mempunyai imaginasi yang kuat untuk melakukan babak yang telah mereka tonton tersebut. Kehidupan yang sentiasa ingin tahu dan ingin mencuba akan mendorong sesorang melakukan sesuatu tanpa berfikir dahulu akan kesannya. Jika kita tanya kepada mereka yang bermasalah itu, adakah mereka berfikir dahulu sebelum hendak melakukan perkara-perkara tersebut? Jawapan mereka sudah tentu tidak. Mereka tidak akan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Bila dah buat, barulah nak menyesal. Ingatlah dengan kata-kata ini, "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".
Kalau nak cerita tentang masalah ini memang tak pernah nak habis. Saya tertanya-tanya pada diri sendiri, bilakah masalah yang melanda remaja ini akan berakhir? Adakah perkara ini tidak ada kesudahannya? semua itu tanyalah pada diri kita sendiri kerana kita adalah apa yang kita fikirkan dan masa depan kita juga terletak pada diri kita sendiri. Pesanan saya buat diri mereka yang bergelar remaja termasuklah saya sendiri yang masih remaja, janganlah kita sia-siakan peluang yang diberikan pada kita. Dan yang pasti, jangan mensia-siakan masa depan kita kerana kita adalah pemimpin pada masa hadapan. Sering sahaja saya memanjatkan doa pada Yang Maha Esa, agar diri ini tidak terjebak dalam masalah-masalah moral yang tidak diingini.
Terasa macam nak kembali ke alam sekolah balik, "cikgu, saya dah siapkan karangan ni".. Tapi gaya bahasa tulisan saya sekarang mungkin tidak sebaik dan skema ketika di sekolah dahulu. Dah lama tak mengarang, tetiba malam ini, terdetik pula di hati ini untuk mengarang. Jika ada salah dan silap, harap dimaafi. Saya hanyalah insan biasa yang kadang kala sering melakukan kesilapan. Isi-isi dalam karangan ni masih belum cukup mungkin. Hmmmm.. harus diperbaiki lagi ni...
Akhirul kalam ~paeinz da biskutz~









