Tajuk di atas sering bermain-main di fikiran saya apabila saya mula mengetahui cara pemerintahan di Negara ini. Seperti yang kita sedia maklum, Negara kita yang tercinta ini mengamalkan bentuk kerajaan demokrasi. Ya, sebuah bentuk kerajaan demokrasi. Sekali lagi saya ingin menegaskan, Negara kita ini mengamalkan kerajaan DEMOKRASI. Demokrasi, demokrasi, demokrasi dan demokrasi. Tapi, persoalan ini sekali lagi sering berputar-putar di minda saya sejak kebelakangan ini, DEMOKRASIKAH NEGARA KITA INI?
Ada sesiapa yang boleh tolong jawabkan? Maklumlah, saya ini masih lagi mentah dan baru berupaya untuk berfikir sendiri untuk berpijak di bumi yang nyata ini. Saya masih lagi tidak faham bagaimana demokrasi yang dilaksanakan di Malaysia ini. Jika semasa di sekolah dahulu, dalam subjek sejarah juga telah mengajar kita, bahawa Negara kita ini mengamalkan bentuk kerajaan demokrasi. Akan tetapi, sejauh manakah amalan demokrasi di Negara kita ini?
Perkataan demokrasi berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘demo’ yang membawa maksud “rakyat” dan ‘krasi’ yang bermaksud “memerintah” dan jika dihubungkan membawa maksud “Diperintah Oleh Rakyat”. Terma ini kadangkala digunakan untuk mengukur sejauh mana pengaruh rakyat di atas kerajaannya. Demokrasi secara ekstrim boleh dilihat dalam sistem kerajaan seperti anarkisme dan komunisme (menurut teori Karl Marx, demokrasi merupakan peringkat terakhir pembangunan sosial dimana demokrasi adalah diamalkan secara langsung, dan tiada kerajaan yang bebas dari kehendak rakyat.
Hati saya rasa teramat marah apabila seketika tadi saya melihat berita di televisyen mengenai perhimpunan Aman BERSIH yang disekat oleh pihak polis. Kenapa perhimpunan itu harus dihalang? Bukankah Negara kita ini mengamalkan kerajaan demokrasi. Dalam kerajaan demokrasi, kita sebagai rakyat mempunyai hak kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya). Tapi tengoklah keadaan Negara kita sekarang. Sebahagian yang hadir perhimpunan tersebut telah disembur dengan gas pemedih api oleh pihak polis. Tidak silap saya, 15 orang yang terlibat di dalam perhimpunan itu telah ditangkap oleh pihak polis.
Patutkah keadaan itu berlaku? Hati saya memang tidak puas hati terhadap demokrasi yang diwar-warkan di Malaysia ini. Demokrasi apa namanya ini? Adakah Negara kita ini betul-betul adil? Sejak saya mula tahu cara berfikir yang mana itu salah dan yang mana itu baik, sering sahaja saya bertanya pada diri saya ini, adakah saya akan meyokong parti-parti kerajaan yang dikatakan mengamalkan kerajaan demokrasi ini? Saya bukanlah hendak berpolitik di sini. Apa yang saya mahukan ialah kebebasan hak sebagai rakyat untuk memilih dan bersuara apa yang rasa tidak puas hati.
Di sini saya ingin menyenaraikan sifat-sifat dengan institusi-institusi yang ada pada demokrasi moden ini:
- Perlembagaan yang menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan, samada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya Perlembagaan akan memasuki dotrin pembahagian kuasa untuk memastikan seseorang itu tidak diberi lebih dari satu kuasa.
- Pilihan raya untuk memilih pegawai-pegawai awam, yang dikelolakan secara bebas dan adil.
- Rakyat diberi hak mengundi.
- Kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya).
- Kebebasan akhbar dan akses kepada media lain.
- Semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi undang-undang. Salah satu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undang-undang Rule Of Law.
- Rakyat yang berpendidikan dan berpengatahuan tentang hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik.
Hayatilah apakah itu demokrasi yang seharusnya dilaksanakan. Adakah Negara kita mengamalkan sifat-sifat demokrasi di atas? Sebagai manusia yang dianugerahkan akal oleh ALLAH S.W.T, kita sememangnya patut memikirkan kebaikan untuk kita bersama. Tapi tengoklah kerajaan di Malaysia ini, terlalu sadis apabila saya memikirkannya. Negara yang hanya berpura-pura kononnya mengamalkan bentuk kerajaan demokrasi akan tetapi hanya indah khabar dari rupa. Kalau ada Negara lain yang ingin mengambil contoh cara pemerintahan di Malaysia ini, nasihat saya kajilah terlebih dahulu. Adakah Negara ini betul-betul mengambil berat terhadap hak rakyat? Sudah terang lagi bersuluh, mereka ini hanya berpura-pura sahaja.
Kalau dahulu kita telah diperintah oleh rejim Mahathir, yang mana majoriti rakyat telah tahu akan kezaliman yang dilakukannya. Semasa pemerintahannya, pihak media telah bersama-sama bersekongkol dengan rejim M untuk menyebarkan segala berita-berita palsu, fitnah dan memihak kepada pemerintahan yang sangat zalim ini. Malah pihak polis juga bertindak seperti pak turut, mengikut apa sahaja yang diarahnya. Kemudian, apabila si rejim M ini telah mengundurkan diri, kini, Rejim baru pula semakin berputik di Negara ini. Nak tau rejim apa, ha tu lah dia Rejim Pak Lah pula semakin menunjukkan taringnya. Dulu, semasa dia baru dilantik, saya ingat dia akan membawa satu pembaharuan dan akan mengamalkan ajaran Islam di Negara ini dengan sebetulnya. Tetapi, tidak pada hari ini, saya semakin menyampah dengan si Rejim PL ini. Islam Hadhari yang diutarakannya itu yang disuruh rakyat ikuti. Pasal ini saya tak mahu cerita dengan lebih panjang sebab saya memang tak nak tahu Islam Hadhari yang dibawanya itu.
Saya nak kata lebih-lebih pun masih lagi di bawah umur dan belum layak untuk mengundi. Tapi, hanya untuk tahun ini sahaja, tahun hadapan saya dah layak untuk mengundi parti mana yang saya rasa sememangnya layak untuk diundi. Hak rakyat, kita bebas memilih apa sahaja yang kita hendak. Yelah, Negara kitakan Negara demokrasi. Seharusnya Negara demokrasi itu adalah negara yang adil dan saksama. Sepatutnya tidak ada berat sebelah. Saya hanya mahukan kebebasan untuk bersuara. Kebebasan hak asasi manusia. Kebebasan untuk segala-segalanya. Barulah Negara ini aman harmoni. Tetapi di Negara yang tercinta ini, kebebasan itu disekat, kebebasan itu dihalang sekeras-kerasnya. Hal ini tidak patut berlaku di Negara-negara yang mengamalkan demokrasi.
Hmm.. Bila fikirkan masalah yang melanda di Negara ini. Sememangnya tidak akan berakhir jika rejim-rejim ini tidak pupus di bumi. Kadang-kadang saya terfikir adakah demokrasi di Negara ini telah berakhir? Saya menyeru pada semua pejuang-pejuang keadilan serta rakyat kesluruhannya bangkitlah dalam merealisasikan kemerdekaan semula di Malaysia dari penjajahan baru di tanah air sendiri.
Di sini igin saya menyelitkan beberapa hadis yang patut kita renungkan bersama.
- Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Rosaknya agama disebabkan tiga perkara, iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad." (Hadis Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberi peringatan mengenai wujudnya ulama yang membinasakan dirinya sendiri tetapi ingin menyelamatkan orang lain. Ini bermaksud ulama jenis ini berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk orang lain, tetapi secara diam-diam mereka sendiri mengejar kedudukan dan harta duniawi.- Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang dicampakkan ke dalam neraka jahanam pada hari kiamat dan bertaburan isi perutnya, ahli neraka lain bertanya: "mengapakah anda jadi begini sedangkan anda sentiasa menyuruh kami berbuat baik dan mencegah kemungkaran?" Dia menjawab: "Ya benar saya menyuruh kamu semua berbuat baik tetapi saya tidak melakukannya dan saya yang melarang anda tidak melakukannya tetapi saya sengaja melanggarnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan dari keterangan yang jelas dan petunjuk setelah kami nyatakan kepada manusia dalam al-Quran, mereka dilaknati Allah dan dilaknati semua makhluk yang dapat melaknati mereka." (al-Baqarah-159)
sumber hadis saya perolehi di web ini.
Akhir kalam dari saya, berjuanglah demi menegakkan agama yang syumul, bangsa yang bersatu padu dan negara yang demokrasi.
Dari saya yang masih mentah ~paeinz da biskutz~